Monthly Archives: July 2012

Kerana aku tahu, mereka perlukan dakwah.

bismillahirrahmanirahim..

saban tahun, saya amat bersyukur kerana saya masih lagi bernafas dalam udara dakwah dan tarbiyyah. Demi Tuhan, saya amat berterima kasih kepada semua manusia yang bertanggungjawab melasso diri ini ke dalam kandang tarbiyyah.

Saya masih ingat, dahulunya saya adalah pemberontak tarbiyyah.
Saya lemas dengan “cakap-cakap tarbiyyah”.
Saya bosan dengan “orang-orang dakwah”.
Saya sentiasa berasa cukup dengan diri sendiri.
Ya,saya merasakan saya cukup bagus.
Ya, saya merasakan saya tidak memerlukan sesiapa untuk mengajar bagaimana untuk hidup.
…………………………………………………………………

Langit senja Nottingham, England Disember 2009

Tahun 2007, England-bermula segala-segalanya. Jauh di perantauan orang, saya mula memahami kelembutan tarbiyyah. Sayup-sayup, ia menyerap ke dalam hati. Jauh ke dasarnya. Ya. Tersangat jauh.

Hingga saya tidak mampu lari daripadanya.
Hingga saya tidak mampu memalingkan wajah daripadanya.

Hingga saya tidak bisa menafikan keindahannya.
Saya benar-benar tidak berupaya menidakkan keajabannya.
Saya menjadi larut di dalamnya.
Cinta saya tumpah kepadanya.

Akhirnya, lahirlah ikrar untuk saya berjuang deminya.
Ya demi mempertahankan sebuah tarbiyyah, dakwah menjadi kemestian.

Tanpa dakwah, tarbiyyah menjadi mandul.
Mandul dan bacul.

Entah dari mana kekuatan dan semangat itu muncul, saya seakan-akan bangkit daripada lamunan.
Saya melihat, umat perlu di diselamatkan.
Saya menjadi gelisah melihat manusia hanyut dalam kelalaian.
Hati saya menjadi sakit.
Sakit yang teramat.

Lalu, di bumi asing itu, saya memulakan langkahan perjuangan.
Satu demi satu ujian mendatang.
Satu demi satu halangan menghambat.
Dan satu demi satu kesusahan menyebat.
Hingga saya sendiri tidak mampu menghitung banyaknya deraian air mata yang tumpah.
Jujurnya, kehidupan saya di sana tidak mudah.
Sering kali sang dugaan datang menjengah.
Namun, saya pasrah.
Sepasrah-pasrahnya.

Namun, ada satu babak kehidupan yang tidak berubah walau tegarnya ujian menghempap.
Cinta saya terhadap dakwah dan tarbiyyah tidak pernah pudar.
Entah mengapa setiap kali nafsu ini cuba mengkambing hitamkan dakwah dan tarbiyyah atas segala ujian,
hati ini cepat-cepat menidakkanya.
Malah, cukup jika saya katakan ujian yang datang menjadikan kecintaan saya terhadap dakwah dan tarbiyyah semakin mekar.
Ketika itu, saya  mula merasai bagaimana rasanya obses terhadap dakwah.
Ya, tumuhat saya menjadi-jadi.
……………………………………………………………………………………….

Alhamdulillah, ketika ini saya sedang menyaksikan kebangkitan anak-anak binaan saya bangkit daripada lena yang panjang.
Jika dulu, mereka seakan melakukan rutin mingguan datang dan pulang usrah.
Hari ini, mereka sudah menjadi lebih daripada kebiasaan itu.
Jika dahulu, mereka seakan seperti anak kucing yang sering mahukan belaian dan manjaan, hari ini mereka sudah menjadi anak singa yang sudah mengaum garang.
Himmah mereka luar biasa.

Bukankah tarbiyyah itu menjadikan manusia biasa kepada luar biasa?

Memerhati meraka dari jauh membuatkan saya mengimbau kenangan lama. Kenangan saat jatuhnya cinta pertama.
Cinta yang tidak berbelah bagi ke atas hamparan dakwah ini.
Terkadang saya menjadi sayu.
Hati saya dijentik hiba kerana Allah masih sudi mengizinkan saya mendidik mereka yang hebat ini walaupun banyak dosa dan hina saya di hadapan-Nya.

…………………………………………………………………………………………………………………………………………

Hari ini, sudah menjangkau 5 tahun saya bergelumang dengan sepak terajang tarbiyyah.
5 tahun bukanlah tempoh yang panjang. Saya sendiri tidak layak untuk berbangga dengan usia tarbiyyah saya yang sangat hijau. Ibaratnya, saya hanya seperti kanak-kanak yang baru melangkah ke alam pra-sekolah.
Ah, betapa kerdilnya saya.

warna kehidupan

Namun, sepanjang 5 tahun ini, saya telah menyaksikan babak kehidupan dakwah dan tarbiyyah pelbagai warna.
Ada warna jatuh dan bangkit.
Ada warna sihat dan sakit.
Ada warna sayang dan benci.
Ada warna ketawa dan tangis.

Hari ini, saya menyaksikan warna-warna tersebut sedang terlukis di kanvas kehidupan mutarobbi saya.
Tidak kisahlah mereka adalah anak-anak usrah saya , mahupun cucu usrah saya..mereka kesemuanya adalah mutarobbi yang saya cinta.
Mereka dalam fasa sedang merasai manis, pahit , suka dan duka dalam langkahan jalan juang ini.

Menjadi murobbi, tidaklah semudah memberi taujih daripada kitab kuning.
Atau sekadar menayangkan video islami yang “catchy” daripada you tube.
Ia lebih daripada itu.
Tidak mustahil saya katakan, boleh jadi dalam tekad sang murobbi mendidik anak-anaknya,
anak-anaknya itu boleh dirasuk malas.
Mereka boleh menjadi lemas.
Lemas dengan tanggungjawab dan kesibukan dakwah.

Tidak mustahil juga saya katakan,
ketika segala kekalutan dan ujian hidup datang menjengah,
langkahan mereka menjadi mengah.
Laungan  himmah  menjadi lemah.

Allah..saya paling takut jika para daie dijangkiti penyakit futur.
Saya sendiri takutkan futur.
Saya takut anak-anak binaan saya diserang futur.

Ya Allah, betapa aku merayu agar lindungilah anak-anak mutarobbiku daripada dijangkiti futur.
Aku lebih rela Engkau mengujiku dengan kesusahan mendidik mereka, tapi jangan Engkau palingkan mereka daripada jalan ini.
Kerana aku tahu, mereka perlukan dakwah.
Oleh itu, jangan Engkau rampas kemanisan dakwah ini daripada mereka.

musafir asing.
2 ramadhan.
7.30 am

Advertisements

3 Comments

Filed under Tarbiyah